Your Adsense Link 728 X 15

pelarian Myanmar

Posted by admin 0 ulasan
KANAK-KANAK yang tinggal di kem pelarian Myanmar tidak pernah kenal dunia luar. Begitu juga ibu bapa dan datuk serta nenek mereka. Tetapi sekarang, pelarian yang teramai di dunia itu yang mencecah satu juta orang di lima negara sudah bersedia untuk kembali ke tanah air sendiri.

“Ada masa perang, ada masa damai. Enam puluh tiga tahun adalah tempoh yang sangat panjang untuk membunuh. Saya harap kita dapat berkumpul begini di negara sendiri tidak lama lagi,” kata paderi Simon Htoo di depan 300 pelarian Myanmar muda yang berkumpul untuk perhimpunan doa pagi di kem Mae La, di sempadan Myanmar-Thailand. 
Namun tugas masyarakat antarabangsa untuk membantu pelarian ini kembali
ke tanah air sendiri bukan mudah. Antara punca penduduk negara itu yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama termasuk Buddha, Kristian dan Islam menjadi pelarian adalah kerana tekanan politik serta kempen kejam askar terhadap golongan minoriti Myanmar. 

Pertelingkahan dan pencabulan hak asasi manusia masih berlaku di sesetengah kawasan. Walaupun ia sudah berhenti, kebanyakan pelarian berkata, kebencian, kecurigaan dan pembelotan yang berlaku selama ini perlu diatasi terlebih dulu supaya mereka berasa selamat untuk pulang. 
Salah satu kumpulan etnik Myanmar, Karen, sudah 63 tahun melawan perang gerila untuk mendapatkan hak autonomi yang lebih besar daripada regim askar kuku besi.
Tahun lalu, kumpulan etnik Kachin tampil memperjuangkan hak mereka.

“Menandatangani perjanjian untuk menghentikan penindasan memang mudah beberapa minit saja - tetapi memastikan pelaksanaannya itu payah. Ia bukan bergantung kepada senyuman di muka tetapi kejujuran hati. Saya bimbang jika ia hanyalah helah,” kata Htoo selepas tamat sesi doa pagi di kem yang menempatkan 50,000 pelarian itu.

Apabila mereka kembali ke negara sendiri, pelarian Myanmar di Bangladesh, India, Thailand, Malaysia dan China akan menjadikan jumlahnya lebih ramai daripada pelarian Iraq dan Afghanistan. Malah ia dianggap pelarian teramai di dunia.

Keadaan kehidupan mereka juga sangat berbeza. Di Bangladesh, kira-kira 40,000 kaum Rohingya etnik minoriti beragama Islam hampir tidak diiktiraf kewujudannya. Kehidupan pelarian lain di bawah perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, contohnya di sempadan Thai jauh lebih baik sehingga menjadi kampung halaman kepada tiga generasi.

Pelarian ini akan kembali ke kampung yang musnah, kawasan perlombongan, bertemu dengan penduduk yang trauma dan tiada sistem sokongan
di negara termiskin di dunia itu. Ramai bimbang respon dunia akan memaksa mereka kembali ke negara sendiri sebelum keadaan benar-benar pulih.

“Orang yang tinggal di kem pelarian perlu diberi pilihan sama ada balik ke negara sendiri, tinggal terus di situ atau ditempatkan di negara lain. Kami tidak percaya pada politik Myanmar kerana semuanya masih tidak jelas. Tiada siapa yang mahu balik sekarang,” kata Dr Cynthia Maung, doktor pelarian yang mereka panggil ‘Mother Theresa Myanmar’.

Walaupun rancangan awal untuk penghantaran balik ke negara asal sudah dibincangkan oleh organisasi bantuan dan ketua pelarian, tetapi hakikatnya hampir 1,000 orang masih melarikan diri ke Thailand setiap bulan, kata Jack Dunford, ketua veteran Konsortium Sempadan Thai Burma yang membekalkan makanan dan keperluan asas di kem pelarian di Thailand.

Menurut jurucakap Kementerian Luar, Thani Thongphakdi, Thailand tegas mengatakan tidak akan melakukan penghantaran pulang secara paksa ‘sehingga keadaan selamat’. Malah Thailand juga tidak meletakkan had masa untuk pelarian itu kembali ke tanah air mereka.

Tetapi di Bangladesh, lebih 10,000 pelarian akan dihantar pulang dan perbincangan dengan Myanmar masih berlangsung untuk menjadi ikutan negara lain.

“Sekarang kami cuba memberi perangsang kepada pelarian untuk kembali ke negara mereka kerana kami percaya hak asasi manusia di Myanmar sudah bertambah baik.

“Bagaimanapun, ini bukan tugas mudah. Ramai pelarian masih takut dan mereka perlu diyakinkan,” kata Firoz Salahuddin, pegawai kerajaan Bangladesh yang bertanggungjawab dalam hal berkenaan.

Mereka yang layak boleh memohon penempatan semula di negara ketiga dan berdasarkan rekod Organisasi Migrasi Antarabangsa, jumlah pelarian yang kini tinggal di negara lain sudah mencecah 114,000 orang sejak 2005.

Daripada jumlah ini, 90,000 orang ke Amerika Syarikat (AS) dan yang lain berpecah ke 12 negara termasuk Australia, Kanada, Sweden dan Jepun. Dijangkakan 18,000 orang lagi akan ditempatkan di negara ketiga tahun ini.

Kerajaan AS bercadang untuk terus memberi sokongan kepada pelarian dan meningkatkan bantuan jika Myanmar tidak menghentikan proses reformasi.
Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton yang melawat Myanmar Disember lalu berkata, Washington komited untuk ‘membantu pelarian pulang ke negara sendiri, supaya mereka boleh berdikari selepas dua dekad bergantung hidup kepada bantuan ketika tinggal di kem’.

Bagaimanapun, penderma lain teruja dengan perubahan yang berlaku sekarang, contohnya Kesatuan Eropah kini mengalihkan tumpuan dan bantuan ke negara itu yang dikuasai oleh penduduk majoriti Burma. Pelarian di kem merasa tempias daripada peralihan ini.

Dunford berkata, pengagihan makanan terpaksa dikurang�kan tahun ini kepada 1,650 kalori - paras yang kurang daripada disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 2,100 kalori sehari bagi orang dewasa. Malah barang untuk rumah perlindungan termasuk buluh dan gaji guru juga akan dipotong.

“Saya mahu balik ke negara sendiri tetapi bukan sekarang. Di bandar besar memang ada banyak perubahan tetapi di kawasan kampung tiada,” kata May Soe, yang lari ke Thailand selepas askar Myanmar membunuh bapanya dan merogol wanita di kampungnya.

Dia kini dalam dilema, sama ada mahu mengikut abangnya ke AS atau terus tinggal di situ. Wanita berumur 41 tahun itu bagaimanapun mengambil keputusan untuk terus berada di kem berkenaan untuk membantu di wad kanak-kanak di klinik Dr Cyntia.

Saw Wado, 36, yang bekerja sebagai guru bersedia balik dan membantu membangunkan negaranya.

“Sudah terlalu lama kami hidup susah, jadi kami tidak takut untuk balik ke tanah air,” katanya.

Pegangan agama bagi kaum Karen dan etnik lain minoriti Kristian juga tidak goyah walaupun hidup dalam kesusahan. Malah mereka semakin bersatu padu selepas menganut agama yang dibawa oleh mubaligh AS pada abad ke-19.

Di Vila Penjagaan di kem itu, iaitu rumah perlindungan untuk pelarian cacat teruk, sekumpulan lelaki muda yang hilang penglihatan, tangan atau kaki ketika bekerja di lombong - menyanyi bersama-sama.

“Kami tidak tahu apa yang bakal berlaku esok atau bagaimana masa depan kami kelak, tetapi kami yakin tuhan akan menunjukkan jalannya,” kata mereka. - AP

Popular Posts